PUTRAJAYA – Seramai 23 individu termasuk pegawai imigresen dan orang awam ditahan reman bagi membantu siasatan berhubung kes pemalsuan cap di sempadan utama negara di beberapa buah negeri.
Antara yang ditahan reman adalah 14 orang pegawai Jabatan Imigresen Malaysia (JIM) yang bertugas di Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA) dan KLIA2 manakala selebihnya adalah orang awam berusia antara 21 hingga 55 tahun.
Perintah reman dikeluarkan Majistret Siti Roslizawati Mohd. Zanin di Mahkamah Majistret Putrajaya di sini pagi ini selepas membenarkan permohonan Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM).
Roslizawati menetapkan 12 individu direman selama tujuh hari, sembilan individu direman lima hari dan dua lagi direman masing-masing tiga dan empat hari bermula hari ini.
Terdahulu, kesemua mereka tiba di Mahkamah Majistret pada pukul 10 pagi dengan menaiki sebuah bas dan lebih 10 buah kereta diiringi pegawai SPRM.
Sejam kemudian, suspek dilihat keluar daripada mahkamah secara berperingkat pada pukul 11 pagi hingga 12.30 tengah hari.
Menurut sumber, kesemua suspek yang terdiri daripada pegawai imigresen dan orang awam itu ditahan bagi membantu siasatan berhubung isu penyalahgunaan pengesahan cap di sempadan.
“Siasatan mendapati, aktiviti itu dikesan khususnya di KLIA, KLIA2 dan Bangunan Sultan Ismail, Johor Bahru,” katanya.
Katanya, operasi secara besar-besaran bagi mengesan pegawai dan orang awam yang terbabit itu dilakukan hasil usahasama SPRM bersama JIM.
Kesemua suspek yang ditahan reman dan kes disiasat mengikut Seksyen 16 Akta SPRM 2009 dan Seksyen 17 akta sama. – K! ONLINE