fbpx

Warga KL syukur dapat berniaga

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
NORAZALINA (kanan) bersama suami serta anak-anak mereka menjual kuih-muih di Desa Pandan, Kuala Lumpur semalam.

KUALA LUMPUR – Inisiatif Wilayah Bebas Berniaga (WBB) yang bermula semalam mendapat sambutan mengalakkan daripada ratusan warga kota bagaikan cendawan tumbuh selepas hujan.

Rata-rata mereka menarik nafas lega dengan inisiatif ber­kenaan yang dikatakan mampu menjana pendapatan susulan kehilangan kerja dan sumber rezeki akibat pandemik Covid-19.

Hasil tinjauan Kosmo! di sekitar Desa Pandan dan Bandar Seri Permaisuri di sini semalam mendapati, ramai peniaga baharu mencuba nasib dalam jualan makanan demi kelangsungan hidup keluarga mereka.

Seorang peniaga kuih-muih tradisional, Norazalina Abdul Latif, 34, berkata, krisis Covid-19 memberi impak buat keluarga­nya apabila suami yang bekerja sebagai pemandu pelancong kini hilang pendapatan.

Katanya, kehidupan mereka termasuk empat orang yang berusia antara tujuh hingga 16 tahun itu ibarat kais pagi makan pagi kerana bergantung sepenuhnya dengan pendapatan suami.

“Saya mula menjual kuih secara kecil-kecilan sejak Mei lalu, tetapi hati ini sentiasa bimbang, jika dikenakan saman dan barang niaga dirampas pihak berkuasa.

“Bukan sengaja mahu mencabar undang-undang, tetapi tiada cara lain untuk kami sekeluarga meneruskan kehidupan selain mengharapkan hasil perniagaan ini,” katanya ketika ditemui semalam.

Artikel berkaitan : Annuar tegas mahu WBB biarpun terima desakan

Artikel berkaitan : Beri peluang rakyat berniaga, jangan ada alasan

Menurutnya, dia dan suami menarik nafas lega selepas Kementerian Wilayah Persekutuan mengumumkan inisiatif WBB yang membolehkan mereka mendapat lesen sementara sekali gus memudahkan lagi urusan perniagaan tanpa takut.

Baru-baru ini, Menteri Wilayah Persekutuan, Tan Sri Annuar Musa mengumumkan inisiatif WBB selama enam bulan bermula semalam hingga 15 April 2021 bagi membantu meringankan bebanan penduduk khususnya susulan pelaksanaan Perintah Kawalan Pergerakan Bersyarat.

Pemberian lesen sementara itu adalah percuma.

Seorang bapa tunggal, Shaffari Mamat, 53, berkata, dia terpaksa menjual makanan berasaskan bebola bagi memastikan tiga anaknya tidak terputus bekalan makanan serta pendidikan.

Dia yang sebelum ini be­kerja sebagai akauntan di sebuah syarikat swasta diberhentikan kerja disebabkan pengecilan operasi susulan Covid-19.

“Saya memulakan perniagaan sejak Jun lalu selepas tidak mendapat sebarang pekerjaan, tambahan pula di usia sebegini.

“Bagaimanapun, saya kadangkala bimbang barang disita DBKL kerana tidak mempunyai lesen.

“Namun kini saya berterima kasih kepada kerajaan kerana mempermudahkan urusan semua peniaga termasuk permohonan lesen sementara,” ujarnya.-K! ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI