MELAKA – Seramai lebih 3,000 wanita dengan kebanyakan berusia 51 dan ke atas menjadi mangsa penipuan “Macau Scam” di seluruh negara dengan nilai kerugian mencecah RM256 juta dalam tempoh Januari sehingga Oktober tahun ini.
Pengarah Jabatan Siasatan Jenayah Komersial (JSJK) Bukit Aman, Datuk Zainuddin Yaacob berkata, Polis Diraja Malaysia (PDRM) merekodkan sebanyak 5,218 kes penipuan Macau Scam dengan 2,676 kes berjaya ditumpaskan.
Katanya, kebanyakan wanita berusia menjadi mangsa penipuan dalam talian selepas menerima ugutan palsu oleh pemanggil termasuk akan dikenakan tindakan undang-undang termasuk dilokap, ditangkap dan harta mereka akan dirampas.
“Kita telah berkali-kali mengingatkan orang ramai mengenai penipuan Macau Scam ini, namun kes ini terus meningkat dengan lebih 3,000 wanita berusia 51 tahun dan ke atas menjadi mangsa.
“Pada kebiasaannya mangsa yang tertipu berada dalam keadaan tertekan dan takut dengan ugutan akan ditangkap dan dilokap, selain risau hartanya akan dirampas di bawah tindakan undang-undang tertentu seperti Akta Pencegahan Pengubahan Wang Haram, Pencegahan Pembiayaan Keganasan dan Hasil Aktiviti Haram 2001 (AMLA),” katanya.
Beliau berkata demikian pada sidang akhbar selepas menyaksikan Majlis Serah Terima Tugas Jawatan Ketua Polis Melaka dan Pengerusi Persatuan Keluarga Polis (Perkep) di Ibu Pejabat Kontinjen (IPK) Melaka, di sini hari ini.
Tambahnya, orang ramai diingatkan untuk tidak mempercayai sebarang panggilan kononnya menyambungkan talian antara pihak polis atau pejabat mahupun agensi kerajaan lain yang dibuat untuk meyakinkan mangsa.
“Orang ramai kena tahu, kita tidak mempunyai kemudahan untuk menyambungkan panggilan dari satu agensi ke agensi lain.
“Contohnya panggilan menyamar sebagai polis dan kemudian membuat jalan cerita memindahkan talian ke LHDN dan sebagainya untuk menyakinkan mangsa membuat pindahan wang,” katanya.
Mengulas lanjut, beliau berkata, setakat ini sebanyak 1,420 kes Macau Scam sudah dituduh di mahkamah di seluruh negara. – K! ONLINE.