Oleh AFIFI HAFIZ MOHD NOR
PORT DICKSON – Polis menahan tujuh lelaki yang sedang leka bermain judi jenis Gin Rummy dalam satu serbuan di premis permainan snuker di Bandar Springhill di sini malam semalam.
Menurut Ketua Polis Daerah Port Dickson, Superintenden Aidi Sham Mohamed, semua lelaki berusia antara 27 hingga 57 tahun ditahan atas kesalahan bermain judi.
Katanya, pihak polis juga telah mengeluarkan satu kompauan ke atas pemilik premis kerana tidak mematuhi prosedur operasi standard (SOP) Perintah Kawalan Pergerakan Bersyarat (PKPB).
“Lebih kurang pukul 8.10 malam, sepasukan pegawai dan anggota dari Bahagian Siasatan Jenayah, Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Port Dickson bertindak atas maklumat telah membuat serbuan di Tingkat 1, sebuah pusat premis permainan snuker di Bandar Springhill.
“Apabila sampai, pasukan serbuan telah naik ke tingkat satu dan membuat pemeriksaan di dalam sebuah bilik di dalam premis tersebut dan telah menemukan tujuh lelaki sedang bermain judi jenis Gin Rummy,” katanya dalam kenyataan hari ini.
Tambah beliau, pemeriksaan lanjut mendapati, premis berkenaan mempunyai lesen perniagaan tetapi gagal mematuhi SOP PKPB yang ditetapkan oleh kerajaan iaitu dengan tidak mencatat nama, suhu badan, nombor telefon serta tiada aplikasi kod respons pantas (QR Code) MySejahtera.
“Pasukan serbuan telah berjaya merampas sebuah meja, empat buah kerusi, 112 buah batu Gin Rummy, dua buah biji dadu dan wang tunai berjumlah RM 1,440,” tambahnya.
Jelasnya, kesemua tangkapan bersama tiga lelaki lain yang merupakan pelanggan serta seorang lelaki penjaga premis dibawa ke IPD Port Dickson untuk siasatan lanjut.
“Kes disiasat dibawah Sekyen 6 (1) Akta Rumah Judi Terbuka 1953 kerana bermain judi dalam bangunan manakala kompaun yang dikenakan di bawah Peraturan 11 Peraturan-Peraturan Pencegahan dan Pengawalan Penyakit Berjangkit (PPPPPB) 2020,” jelasnya-K!ONLINE