PETALING JAYA – Bapa penyanyi Sissy Imann mendedahkan dia bekerja keras menyiapkan busana anaknya untuk dipakai pada majlis Anugerah Bintang Popular-33 Berita Harian (ABPBH33) yang berlangsung Jumaat lalu.
Luahan itu dimuat naik Mohammad Kamil Moustaff kerana kecewa selepas penampilan Sissy Imann atau nama sebenarnya, Sissy Imann Mohammad Kamil, 25, memakai dres berwarna merah jambu rekaannya dikritik netizen dalam media sosial.
“Penampilan anak aku dikecam hebat di ABPBH33.
“Akulah penyebabnya, tetapi aku tetap bangga dia (Sissy Imann) sudah melakukan yang terbaik pada malam tersebut (Jumaat).
“Biarlah orang kutuk, aku akur dan sedar diri. Aku bukan siapa-siapa. Aku hanya seorang bapa yang menjalankan tanggungjawab supaya anak aku meraih kejayaan selagi kudrat masih ada,” katanya.
Dedah Mohammad Kamil, dia bukan individu yang suka meminta meskipun tiada pihak yang mahu menaja pakaian untuk anaknya.
“Aku sendiri yang bersengkang mata menjahit batu perhiasan pada dres, entah berapa ribu kali jari tertusuk jarum.
“Melecur juga tangan akibat terkena gam panas. Aku ini bukanlah (pereka) profesional tetapi tetap melakukannya demi anak aku,” katanya lagi.
Mohammad Kamil memberitahu, dia juga akan sentiasa memastikan Sissy Imann nampak cantik dan berasa bangga apabila penat lelahnya dihargai oleh anak kandungnya.
Mohammad Kamil turut mengucapkan terima kasih kepada mereka yang sentiasa menyokong anaknya dan memberitahu akan kekal merendah diri serta berpijak di bumi yang nyata.
Terdahulu, penampilan Sissy Imann ketika mengacarakan slot karpet merah ABPBH33 menerima kecaman teruk daripada netizen yang menganggap fesyen digayakan selebriti tersebut ketinggalan zaman serta nampak sarat.-K! ONLINE