KAHERAH – Ketua perubatan pasukan Mesir, Dr. Mohamed Abou Elela mengesahkan bahawa bintang Liverpool, Mohamed Salah mengalami simptom pandemik Covid-19 ringan.
Salah dikesan positif virus berkenaan pada Jumaat lalu menyebabkan dia terpaksa disisihkan daripada skuad Mesir yang turun menentang Togo pada aksi kelayakan Piala Negara Afrika.
Ketika ramai pemain yang beraksi di Liga Perdana Inggeris diuji positif pandemik berkenaan tanpa simptom yang jelas, Salah pula dikatakan mengalami demam.
“Ia tidak menunjukkan simptom yang banyak kecuali hanya demam. Dia kini menjalani proses kuarantin di Mesir sehingga ujian selepas ini menunjukkan dia negatif dan bebas daripada koronavirus dan kembali ke England.
“Perhatian yang diberikan oleh pihak berkuasa Mesir kepada Salah kerana dia seorang yang istimewa. Semua yang berada di sini mahu membantunya,” kata beliau.
Ketika ditanya sama ada Salah dijangkiti Covid-19 kerana menghadiri majlis perkahwinan adiknya pada awal minggu lalu, Abou Elela tidak mahu menafikannya.
“Saya tidak boleh berkata tidak. Siapa tahu, malangnya kita masih belum memahami sepenuhnya mengenai virus ini. Jawapan saya adalah mungkin betul dan mungkin tidak,” jelasnya.
Proses kuarantin yang perlu dipatuhi Salah menyaksikan dia bakal terlepas aksi Liverpool menentang Leicester City pada Ahad ini.
Mesir ketika ini mencatat jumlah kes sebanyak 110,000 melibatkan kematian seramai 6,000 individu, namun United Kingdom mempunyai angka kes sebanyak 1.3 juta dan kematian seramai 51,000 orang.
Mesir sekali lagi turun menentang Togo esok ketika mereka kini memiliki rekod lima perlawanan tanpa kalah dan muncul sebagai peneraju kumpulan. – AGENSI