PETALING JAYA – Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin mengucapkan takziah kepada ahli keluarga Ahli Parlimen Geri, Allahyarham Datuk Hasbullah Osman yang meninggal dunia petang tadi.
Katanyanya, Allahyarham merupakan bekas Setiausaha Politiknya ketika beliau menjawat jawatan Timbalan Perdana Menteri.
“Selaku Setiausaha Politik, arwah telah memainkan peranan besar dalam mencorakkan perjalanan politik saya, jasa yang amat saya hargai hingga ke hari ini. Banyak kenangan yang kami kongsi bersama.
“Pemergian Allahyarham merupakan satu kehilangan besar buat saya,” katanya di laman Facebook hari ini.
Menurut Muhyiddin, sebagai seorang wakil rakyat, Allahyarham merupakan seorang individu yang sentiasa membangkitkan hal-hal berkaitan kepentingan rakyat di Parlimen, malah sikap ramahnya membuatkannya mesra dengan semua orang.
“Bagi pihak Kerajaan, saya merakamkan setinggi-tinggi penghargaan dan terima kasih atas jasa bakti Allahyarham sepanjang bergelar wakil rakyat dan juga selaku Pengerusi Syarikat Perumahan Negara Berhad (SPNB).
“Semoga amalan baik Allahyarham diterima Allah SWT dan rohnya ditempatkan bersama orang yang beriman dan beramal soleh. Amin,” katanya. – K! ONLINE