fbpx

Pertaruhan simpanan hari tua

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
GAMBAR HIASAN

Sebulan setengah lagi kita bakal memasuki tahun baharu 2021. Pejam celik tahun 2020 yang serba mencabar bakal ditinggalkan dengan 1,001 suka duka.

Kegelisahan, rintihan dan ketidaktenteraman fikiran orang ramai banyak terpapar di laman sosial. Secara zahir atau sembunyi-sembunyi, rata-rata merasakan tahun ini adalah paling sulit.

Penulis teringat seorang rakan pernah menyebut: “Kerajaan ‘dikawal’ rakyat melalui media sosial.”

Belanjawan 2021 sudah diumum lebih seminggu lalu, kini sedang dibahas di Dewan Rakyat. Alhamdulillah, ada rakyat yang mendapat manfaat daripada pengumuman itu.

Antara yang mendapat perhatian adalah isu pengeluaran Akaun 1 Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP) secara bersasar.

Pada 6 November lalu, Menteri Kewangan, Tengku Datuk Seri Zafrul Tengku Abdul Aziz mengumumkan hanya kira-kira 600,000 pencarum dapat mengeluarkan wang daripada akaun itu.

Biarkan wakil rakyat jalankan tugas untuk perbahasan Belanjawan 2021, manakala rakyat pula seperti biasa boleh ‘memberi tekanan’ di laman sosial.

Malah, dalam perkembangan terbaharu, Tengku Zafrul berkata, kerajaan bersedia membenarkan lebih ramai pencarum (berbanding kira-kira 600,000 semasa pembentangan Belanjawan 2021) untuk mengeluarkan simpanan Akaun 1 KWSP.

Rakyat betul-betul menggunakan kuasa media sosial untuk ‘mendesak’ kerajaan. Namun, jika tekanan itu untuk kebaikan apa salahnya.

Pada April lalu, KWSP telah membenarkan ahlinya mengeluarkan amaun maksimum RM500 sebulan daripada Akaun 2 melalui skim i-Lestari. Pengeluaran ini merupakan ‘bantuan’ untuk menampung keperluan ahli dalam jangka masa pendek.

KWSP pada Rabu ini akan mengumumkan i-Sinar bagi kemudahan akses pencarum kepada Akaun 1.

Jika mendapat manfaat baik daripada pengeluaran tersebut maka gunalah secara berhemah untuk membantu ekonomi diri dan keluarga.

Pokok pangkalnya kita perlu ingat pengeluaran ini adalah khusus untuk ahli yang benar-benar terbeban akibat Covid-19 serta amat memerlukan bantuan wang tunai. Yang dipertaruhkan ialah simpanan hari tua selepas persaraan.

Dalam waktu singkat sebelum 2020 melabuhkan tirai, marilah kita bermuhasabah diri serta membuat perancangan rapi untuk menghadapi tahun 2021.

Penulis berasakan situasi ekonomi lembab ini akan berlarutan sepanjang tahun depan berikutan penularan Covid-19.-K! ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI