fbpx

Peniaga gembira kerajaan sediakan kawasan bebas berniaga

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
Peniaga mendapatkan borang permohonan berniaga di kawasan bebas berniaga di MBAS bermula semalam.

ALOR SETAR – Peniaga kecil di sini bersyukur kerana diberi peluang untuk berniaga di mana-mana kawasan sesuai menerusi pembukaan kawasan bebas berniaga oleh kerajaan negeri dengan bayaran RM10 sebulan.

Peniaga makanan, Mohd. Amri Ishak, 42, berkata, dia menyambut baik langkah dibuat kerajaan negeri untuk menggalakkan penduduk untuk berniaga demi kelangsungan hidup.

“Saya dan isteri sebelum ini berniaga di merata tempat tanpa lesen dan berharap permohonan kami untuk membuka gerai di kawasan bebas berniaga ini diluluskan,” katanya di sini hari ini.

Katanya, kebenaran untuk berniaga dengan bayaran bulanan yang rendah amat melegakan.

“Alhamdulilah, selepas ini saya dan isteri dapat berniaga untuk meneruskan kehidupan yang serba mencabar terutama ketika negara dilanda wabak Covid-19 ini,” ujarnya.

Peniaga kuih, Halimah Abu, 55, dari Pekan Langgar pula berkata, dia telah mengisi borang permohonan berniaga di kawasan bebas berniaga itu pada semalam.

“Saya harap permohonan diluluskan kerana hasil pendapatan daripada berniaga secara kecil-kecilan inilah yang menampung perbelanjaan keluarga,” katanya yang merupakan ibu tunggal kepada lima orang anak.

Sementara itu, Pengarah Perancangan Korporat dan Strategik Majlis Bandaraya Alor Setar, Bohari Md. Yusoff berkata, borang permohonan mula diedarkan kepada peniaga di Bahagian Pengurusan Pasar dan Penjaja MBAS bermula semalam.

Katanya, permohonan yang diterima akan mengambil masa antara satu hingga tiga hari untuk diproses sebelum keputusan dimaklumkan kepada pemohon.

Menurut Bohari, peniaga dibenarkan berniaga di kawasan sesuai yang menepati syarat ditetapkan antaranya gerai dalam lingkungan sembilan meter dari simpang jalan, sekitar hospital, pasar awam dan pejabat kerajaan.

“Peniaga makanan pula hanya dibenarkan menggoreng atau memasak dalam skala kecil sahaja iaitu menggunakan satu dapur selain menjual secara bungkus sahaja,” katanya.

Tambahnya, peniaga diminta mematuhi semua syarat dan peraturan ditetapkan sepanjang membuka perniagaan atau lesen sementara perniagaan ditarik balik. – K! ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI