Oleh NOOR HASLIZA NUSI
GEORGE TOWN – Polis menemui bungkusan syabu yang disorok di dalam kotak di tempat duduk belakang sebuah kereta yang dinaiki empat suspek termasuk seorang remaja perempuan dalam sekatan jalan raya (SJR) di Lebuh Raya Tun Dr. Lim Chong Eu di sini Sabtu lalu.
Syabu seberat 254 gram itu ditemui ketika pemeriksaan di dalam kereta tersebut dijalankan anggota polis bertugas kira-kira pukul 7.50 malam susulan seorang pemandunya berusia 26 tahun bertindak melarikan diri dari sekatan itu.
Kesemua suspek yang terlibat berusia antara 19 hingga 26 tahun dan semasa kejadian mereka dikatakan dalam perjalanan pulang ke Perlis.
Ketua Polis Daerah Timur Laut, Asisten Komisioner Soffian Santong berkata, penahanan ke atas mereka sebelum itu dilakukan selepas kesemua suspek didapati melanggar prosidur standard operasi (SOP) Perintah Kawalan Pergerakan Bersyarat (PKPB).
Menurutnya, suspek lelaki yang kini dikenakan perintah sekatan buang daerah di Perlis
itu telah melarikan diri meninggalkan rakan-rakanya sebaik pemeriksaan dokumentasi dijalankan ke atas mereka termasuk telahpun menyerahkan kad pengenalannya kepada anggota polis.
“Tindakan suspek disedari sebaik anggota mahu membawa mereka ke Ibu Pejabat Polis Daerah Timur Laut untuk dikompaun.
“Bagaimanapun, hasil pemeriksaan ke atas kenderaan yang dinaiki suspek telah menemui bungkusan dadah dengan anggaran nilai RM25,400 di dalam kotak di tempat duduk penumpang belakang,” katanya pada sidang akhbar di IPD Timur Laut di sini petang tadi.
Beliau memberitahu, polis kini giat memburu suspek yang berasal dari Sungai Petani, Kedah itu yang dikenali sebagai S. Nadarajan.
“Berdasarkan risikan dan soal siasat, bekalan dadah yang dirampas akan dibawa balik ke Perlis dan sindiket ini yang dipercayai beroperasi sejak awal bulan Oktober lalu juga diepercayai mengambil bekalan dadah itu dari Seberang Perai.
“Hanya dua daripada empat suspek lelaki terbabit mempunyai rekod jenayah lampau manakala wanita terbabit juga didapati positif Methamphetamine,” ujarnya kes tersebut akan disiasat mengikut Seksyen 39B Akta Dadah Berbahaya 1952. – K! ONLINE