fbpx

Pemandu kereta lari selepas terlibat kemalangan maut

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
Kemalangan maut membabitkan seorang pekerja pembersihan di Jalan Sungai Seluang, Lunas pada pagi ini.

Oleh AZAHAR HASHIM

KULIM – Seorang pemandu kereta dipercayai melarikan diri selepas terlibat dalam kemalangan maut di Jalan Sungai Seluang, Lunas di sini hari ini.

Dalam kejadian kira-kira pukul 7.15 pagi itu, pekerja pembersihan di Hospital Kulim, N. Tavanesh, 27, maut di tempat kejadian apabila motosikal jenis Honda C100 ditunggangnya bertembung dengan sebuah kereta jenis Nissan SLX.

Ketua Polis Daerah Kulim, Superintendan Azhar Hashim berkata, kejadian berlaku ketika mangsa menunggang motosikal dari arah Padang Serai menghala Kulim sementara kereta tersebut datang dari arah bertentangan.

“Sebaik tiba di lokasi kejadian, dua kenderaan itu bertembung sehingga mengakibatkan penunggang motosikal maut akibat cedera parah pada badan dan kepala.

“Pemandu kereta itu pula didapati telah menghilangkan diri dengan kereta ditinggalkan di tempat kemalangan,” katanya di sini hari ini.

Kata beliau, hasil semakan nombor pendaftaran kereta tersebut, polis berjaya mengesan pemilik asalnya yang memaklumkan kereta berkenaan telah lama dijual kepada individu lain.

“Difahamkan ketika menjual kereta itu, pemilik asalnya tidak menukar nama kepada pembeli baharu dan kita sedang mengesan pemandu kereta terbabit yang menghilangkan diri,” ujarnya.

Menurutnya, mayat penunggang motosikal dihantar ke Bilik Forensik Hospital Kulim untuk dibedah siasat.

“Kes disiasat mengikut Seksyen 41 (1) Akta Pengangkutan Jalan 1987.

Beliau pada masa sama meminta orang ramai yang menyaksikan kejadian agar tampil menyalurkan maklumat di balai polis berhampiran atau menghubungi Pegawai Penyiasat Trafik Ibu Pejabat Polis Daerah Kulim, Inspektor Rohayu Jaafar di talian 04-4904646. – K! ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI