fbpx

MB Perak sifatkan pemergian Hasbullah kehilangan besar buat rakyat Perak

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
Ahmad Faizal.

IPOH – Menteri Besar Perak, Datuk Seri Ahmad Faizal Azumu menyifatkan pemergian Ahli Parlimen Gerik, Datuk Hasbullah Osman lewat petang tadi sebagai satu kehilangan besar buat rakyat negeri Perak khususnya penduduk Gerik.

Beliau berkata, berita pemergian Allahyarham Hasbullah juga sangat mengejutkan.

“Bagi pihak seluruh jentera kerajaan negeri dan rakyat Perak, saya ingin merakamkan ucapan takziah kepada ahli keluarga Allahyarham.

“Sesungguhnya Allahyarham akan sentiasa dikenang sebagai pemimpin yang sangat banyak berjasa kepada rakyat di kawasan Gerik sepanjang khidmat beliau sebagai Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Temenggor dan Ketua UMNO Bahagian, seterusnya sebagai Ahli Parlimen Gerik,” katanya dalam kenyataan di sini hari ini.

Katanya, semoga Allah mencucuri rahmat ke atas rohnya dan dikumpulkan bersama hamba-Nya yang beriman dan beramal soleh serta dikurniakan sebaik-baik ganjaran syurga.

“Semoga ahli keluarga dan kerabat yang dicintai tabah menghadapi ujian yang berat ini,” katanya.

Sementara itu, Pengerusi Badan Perhubungan UMNO Perak, Datuk Saarani Mohamed turut meluahkan rasa terkejut dan sedih serta menyifatkan pemergiaan Hasbullah sebagai kehilangan besar kepada negeri dan UMNO Perak.

“Sedih dan terkejut saat menerima khabar bahawa  Datuk Hasbullah telah pulang ke rahmatullah petang tadi.

“Saya dan rakan-rakan dalam UMNO khususnya di Perak kehilangan seorang sahabat yang setia kepada perjuangan. Kami mengingati arwah sebagai insan yang sangat akrab dengan rakyat melalui program-program akar umbi,” katanya.

Beliau berkata, sebagai Timbalan Pengerusi Badan Perhubungan UMNO Negeri, Allahyarham bukan sahaja komited pada tugas, malah selalu tampil dengan idea-idea untuk sama-sama menguatkan UMNO sebagai parti yang berorientasikan rakyat.

Hasbullah, 63, meninggal dunia akibat serangan jantung di Raub, Pahang pada pukul 7 petang tadi.

Perkara tersebut disahkan Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Pengkalan Hulu, Datuk Aznel Ibrahim. K! ONLINE.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI