fbpx

Lima lagi penghuni Medan 88 serah diri

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
Gambar hiasan

SEPANG – Lima lagi penghuni dari kawasan Perintah Kawalan Pergerakan Diperketatkan (PKPD) di Medan 88, Bandar Baru Salak Tinggi yang sebelum ini dikatakan gagal dikesan, pulang semalam.

Ketua Polis Daerah Sepang, Asisten Komisioner Wan Kamarul Azran Wan Yusof berkata, ini menjadikan jumlah keseluruhan penghuni Medan 88 yang telah kembali ke kawasan itu adalah seramai 32 orang.

“Tiga daripada mereka adalah rakyat tempatan, manakala dua lagi warga Indonesia dan semua penduduk yang kembali itu akan menjalani ujian saringan Covid-19.

“Daripada tiga rakyat tempatan itu, dua daripadanya adalah lelaki dan seorang wanita, manakala kedua-dua warga Indonesia itu adalah lelaki,” katanya dalam satu kenyataan di sini hari ini.

Mengulas lanjut, beliau berkata, sejak Khamis lalu, warga asing paling ramai kembali semula ke kawasan itu iaitu seramai 19 orang, terdiri daripada 14 lelaki dan lima wanita.

“Pecahan mengikut kewarganegaraan terdiri daripada sembilan warga Indonesia, warga Thailand (tujuh) dan masing-masing seorang warga India, Nepal serta Myanmar manakala warga tempatan yang pulang pula adalah seramai 13 orang terdiri daripada sembilan lelaki dan empat wanita,” katanya.

Dalam pada itu, Wan Kamarul Azran berkata, seramai 44 orang disahkan positif Covid-19 hasil saringan sebelum PKPD dilaksanakan yang dikesan menerusi Kluster Bah Medan.

” Sementara itu, jumlah positif saringan selepas PKPD dilaksanakan adalah seramai empat orang dan secara keseluruhannya jumlah positif Covid-19 di Medan 88 adalah seramai 48 orang setakat ini,” tambah beliau.

PKPD di kawasan  itu diumumkan Menteri Kanan (Keselamatan), Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob, bermula 12 November lalu sehingga 25 November membabitkan 88 unit rumah kedai, 284 premis dan seramai 800 penduduk.-K!ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI