PUTRAJAYA – Kementerian Perumahan dan Kerajaan Tempatan (KPKT) memperuntukkan tambahan bajet sebanyak RM11.7 juta setahun bagi menampung pertambahan kadar elaun dan bilangan Pasukan Bomba Bantuan (PBB).
Menterinya, Zuraida Kamaruddin berkata, pertambahan bajet itu bagi menampung pertambahan kadar elaun dan bilangan PBB untuk mengisi kekosongan di balai-balai baharu yang bakal siap nanti.
“Peruntukan tambahan tersebut menjadikan keseluruhan peruntukkan kepada PBB adalah berjumlah RM46.7 juta.
“Pada masa ini, JBPM telah mengoperasikan sebanyak 319 buah balai bomba dan sebanyak 148 daripadanya menggunakan khidmat PBB seramai 2,030 orang,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika berucap pada Majlis Pelancaran PBB Swart dan Kesiasiagaan Menghadapi Monsun Timur Laut, di Jabatan Balai Bomba dan Penyelamat (JBPM) di sini hari ini.
Zuraida berkata, seramai 23 individu terdiri daripada 11 nelayan di Kelantan dan 12 nelayan di Terengganu dipilih menyertai Pasukan Bomba Bantuan Safety Water Rescue Team atau ringkasnya SWART sebagai sebahagian daripada persediaan JBPM menghadapi Monsun Timur Laut (MTL).
Beliau berkata, kedua-dua negeri itu dipilih bagi pelaksanaan peringkat pertama PBB SWART melibatkan dua lokasi tumpuan awam yang berisiko iaitu Pantai Dungun dan Kuala Nerus di Terengganu serta Pantai Irama, Bachok dan Pantai Tok Bali, Pasir Puteh, Kelantan.
“Pelantikan ini sedikit sebanyak dapat membantu ekonomi anggota PBB SWART yang tidak dapat turun ke laut semasa musim monsun.
“Kewujudan pasukan turut membantu jabatan menyebarkan kempen kesedaran awam berkaitan risiko dan kemerbahayaan selain bertindak sebagai ‘first responder’ apabila berlaku insiden atau bencana tidak diingini di kawasan persekitaran pantai yang ditugaskan,” jelasnya.
Zuraida berkata, pelantikan pasukan peringkat pertama PBB SWART berikutan mereka mahir dengan kawasan pesisir pantai berkenaan yang menjadi tumpuan orang ramai dan pelancong khususnya dari luar.
Beliau berkata, berdasarkan statistik JBPM, seramai 260 orang terkorban akibat kes lemas pada 2016 diikuti 327 mangsa lemas pada 2017, 309 (2018) dan 232 (2019).
Katanya, data itu menjadikan jumlah keseluruhan seramai 1,128 orang maut akibat mati lemas sepanjang tahun 2016 sehingga 2019.
“JBPM telah menyediakan pelan atur gerak strategik dari segi sumber manusia dan logistik serta mengaktifkan Regional Forward Base (RFB) bagi menghadapi banjir di seluruh negara untuk digerakkan pada bila-bila masa.
“Lokasi penempatan aset mengikut zon telah dikenal pasti iaitu Zon Utara di Balai Bomba dan Penyelamat Perda, Pulau Pinang, Zon Selatan di Balai Bomba dan Penyelamat Air Hitam, Johor serta Zon Timur di Akademi Bomba dan Penyelamat Wilayah Timur, Marang Terengganu,” katanya. – K! ONLINE.