PUTRAJAYA – Kes baharu ini masih kekal empat angka dengan 1,103 kes dilaporkan menjadikan jumlah kes positif Covid-19 sebanyak 48,520 kes.
Ketua Pengarah Kesihatan, Tan Sri Dr. Noor Hisham Abdullah berkata, daripada jumlah tersebut satu kes import membabitkan seorang individu yang tiba dari Arab Saudi.
“Selain itu, terdapat empat kes kematian direkodkan menjadikan jumlah kes kematian Covid-19 di seluruh negara sebanyak 313 kes.
“Kes kematian tersebut dilaporkan di Sabah membabitkan dua lelaki dan dua wanita meninggal dunia di Hospital Queen Elizabeth dan Hospital Tawau,” katanya pada sidang akhbar di sini hari ini.
Beliau menambah, sebanyak 821 kes pulih Covid-19 direkodkan hari ini dan jumlah kes sembuh secara keseluruhan sebanyak 35,606 kes.
Ujarnya, sebanyak 102 kes positif sedang dirawat di Unit Rawatan Rapi dengan 39 daripadanya memerlukan bantuan alat pernafasan. -K!ONLINE