Oleh MOHD RAFIE AZIMI
HARAPAN beberapa pasukan untuk mendapatkan khidmat Baddrol Bakhtiar pada musim depan mungkin tidak kesampaian apabila Persatuan Bola Sepak Kedah (KFA) memberi isyarat tidak rela kehilangan kapten kesayangan peminat Kedah itu.
Menurut Presiden KFA, Muhammad Sanusi Md. Nor, khidmat pemain berusia 32 tahun itu masih ditagih apatah lagi berdepan saingan Piala AFC musim depan.
“Saya belum ada maklumat apa-apa mengenai Baddrol, namun amat berharap supaya dia kekal bersama pasukan Kedah.
“Pemain yang bagus seperti Baddrol sudah tentu kita mahu kekalkan,” katanya pada sidang akhbar di Wisma Darul Aman di Alor Setar semalam.
Setakat ini, Baddrol telah membuat 296 penampilan bersama Kedah dan sudah menjaringkan 112 gol sejak menyertai pasukan utama pada tahun 2005.
Ditanya mengenai kedudukan pemain import dari Singapura, Muhammad Shakir Hamzah yang menjadi salah seorang tonggak pasukan musim ini, Muhammad Sanusi menjelaskan, kontrak pemain itu telah tamat.
“Mungkin Shakir ada pilihan di tempat lain, kita pun tidak boleh tahan dia,” katanya.
Shakir di laman instagram miliknya memberi bayangan seolah-olah tidak kekal bersama Kedah pada musim depan kerana tidak lagi berada dalam perancangan jurulatih, Aidil Sharin Sahak.
“Buat masa ini saya belum bersedia menjawab sebarang persoalan tetapi yang pasti, ini musim terakhir saya di bumi Kedah.
“Walaupun saya amat terkilan dengan keputusan jurulatih, namun saya terima bahawa rezeki saya hanya sampai di sini dengan pasukan hebat seperti Kedah,” katanya.
Kenyataan itu nyata mengejutkan ketika gandingan Shakir dan seorang lagi pemain import, Renan Alves dilihat cukup ampuh mengemudi barisan pertahanan Kedah sepanjang dua musim lalu.