BASEL – Kapten Sepanyol, Sergio Ramos menjadi punca pasukan itu sekadar mencatat keputusan seri 1-1 menentang Switzerland pada aksi Liga Negara-Negara Eropah di Stadium St. Jakob awal pagi semalam apabila gagal menyempurnakan dua sepakan penalti.
Bagaimanapun, jurulatih Sepanyol, Luis Enrique tetap mempertahankan Ramos selain menegaskan, pemain Real Madrid itu sentiasa menjadi pilihan utama untuk mengambil sepakan penalti.
Katanya, kegagalan menyempurnakan sepakan penalti adalah perkara biasa dalam bola sepak dan ia boleh terjadi kepada mana-mana pemain terutamanya dalam perlawanan berprofil tinggi.
“Semua orang tahu Ramos memiliki rekod yang cukup baik dalam mengambil sepakan penalti. Bagi saya, dia antara yang terbaik untuk mengambil sepakan penalti dan tidak adil untuk orang mengkritiknya.
“Sekiranya kami dianugerahkan satu lagi sepakan penalti, sudah tentu saya mahu dia (Ramos) yang melaksanakan tugas itu. Nama Ramos berada paling atas dalam senarai untuk pemain Sepanyol yang akan mengambil sepakan penalti,” kata Enrique.
Pada perlawanan itu, kedua-dua pasukan berpuas hati dengan satu mata dengan Sepanyol menjaringkan gol menerusi Gerard Moreno, sementara gol Switzerland dijaringkan Remo Freuler.
Menerusi keputusan itu, Sepanyol kini berada di tangga kedua saingan Kumpulan A4 dengan lapan mata, satu mata dibezakan dengan pendahulu, Jerman. – AGENSI