SEBERANG PERAI – Empat geng rempit termasuk dua pelajar sekolah ditahan polis selepas didapati menjadikan sebatang jalan kampung di Lahar Kepar di Penaga, Kepala Batas di sini sebagai litar lumba haram semalam.
Keempat-empat mereka ditahan dalam operasi kira-kira dua jam yang bermula pukul 5 petang.
Penahanan itu melibatkan dua lelaki berusia 18 dan 20 tahun yang dipercayai berlumba, manakala dua remaja lelaki berusia 14 dan 17 tahun yang mengekori dengan sebuah lagi motosikal turut ditahan.
Ketua Polis Daerah Seberang Perai Utara, Asisten Komisioner Noorzainy Mohd. Noor berkata, mereka dilihat berlumba sesama sendiri dari Lahar Ikan Mati menghala Penaga sambil melakukan aksi berbahaya kepada pengguna jalan raya lain.
“Sebelum tangkapan dibuat, pasukan operasi membuat pemantauan dan pemerhatian ke atas semua remaja terbabit.
“Keempat-empat mereka kemudian ditahan sebaik berhenti di sebuah jambatan tepi jalan Lahar Kepar menghala Kepala Batas,” katanya dalam kenyataan di sini hari ini.
Beliau berkata, kes itu disiasat mengikut Seksyen 42(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987.
Dalam pada itu, Noorzainy berkata, seramai 50 individu yang disyaki melakukan kegiatan lumba haram telah ditahan dalam operasi sepanjang minggu lalu di daerah itu. – K! ONLINE