PETALING JAYA – Dua buah kereta yang diletakkan di kawasan tempat letak kereta Jalan Putramas 1, Kuala Lumpur hangus dalam satu kebakaran pagi tadi.
Kebakaran melibatkan kereta jenis Mercedes dan Toyota Vios itu berlaku kira-kira pukul 4.20 pagi.
Pusat Gerakan Operasi Bomba Kuala Lumpur berkata, pihaknya menerima panggilan kecemasan kira-kira 4.26 pagi.
Katanya, sepasukan anggota dari Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Sentul diketuai Komander Operasi Kanan PBK II Abdul Halim Hassan bersama sebuah jentera bergegas ke lokasi kejadian.
“Setibanya di lokasi, anggota mendapati berlaku kebakaran melibatkan dua buah kereta yang diletakkan di kawasan parkir.
“Kereta yang dikenalpasti terbakar model Mercedes dianggarkan terbakar 50 peratus, manakala Toyota Vios dianggarkan 40 peratus,” katanya dalam satu kenyataan di sini hari ini
Tambah kenyataan itu, api berjaya dipadamkan dalam tempoh 10 minit dan kebakaran itu tidak melibatkan mangsa.
Punca dan nilai kerugian masih dalam siasatan.-K! ONLINE