fbpx

Derita rakyat Malaysia hidup di Singapura

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
Gambar hiasan.

Hampir 200,000 rakyat kita terkandas di Singapura ekoran kedua-dua pintu sempadan negara menerusi Tambak Johor, Johor Bahru dan Linkedua, Gelang Patah, ditutup sejak Mac lalu bagi mengekang penularan pandemik Covid-19.

Setelah hampir lapan bulan terpaksa hidup ‘berkurung’ di Kota Singa, kehidupan mereka kini sengsara kerana kos sara hidup di negara jiran itu terlalu tinggi.

Bilik sewa kecil untuk satu kepala pun mencecah SG$350 (RM1,071) hingga mencecah SG$800 (RM2,448).

Seorang pekerja Malaysia yang bekerja sebagai operator di sebuah kilang di Singapura memberitahu, dia terpaksa hidup sebagai gelandangan di negara jiran.

“Gaji saya tidaklah besar mana, dicampur kerja lebih masa dapatlah SG$1,800 kira-kira RM5,508, tetapi sewa bilik di sini mahal, mana mampu. Duit banyak nak pakai, bayar sewa rumah, kereta, belanja anak isteri lagi di Malaysia.

“Terpaksalah hidup susah di sini, penguat kuasa Singapura pula straight, selalu jugalah kena halau jika tidur di kaki lima,” katanya ketika dihubungi Kosmo! baru-baru ini.

Pada 30 Oktober lalu, Kos­mo! melaporkan, hasil soal selidik sebuah perunding kerjaya, Think Big Management and Enterprise mendapati, 40 daripada 178 warga Malaysia yang bekerja di Si­ngapura mempunyai kecenderu­ngan membunuh diri.

Semuanya gara-gara tertekan akibat kesan pandemik Covid-19.

Menerusi hasil kaji selidik itu, perpisahan dengan ahli keluarga juga menyebabkan responden yang ditemu bual menghadapi tekanan hidup.

Menteri Luar, Datuk Seri Hi­shammuddin Tun Hussein dipetik sebagai berkata, Malaysia dan Singapura bersetuju untuk me­laksanakan Laluan Hijau Timbal Balik (RGL) dan Peraturan Ulang Alik Berkala (PCA) di antara ke­dua-dua negara berkenaan.

Menerusi statistik Kerajaan Negeri Johor pada 11 November lalu, seramai 12,758 rakyat Malaysia dan Singapura merentas sempadan menerusi skim PCA, manakala 2,137 pelawat yang masuk melalui skim RGL sejak dilaksanakan 17 Ogos lalu.

Ironinya, PCA terpakai kepada penduduk Malaysia dan Singapura yang memiliki pas imigresen jangka panjang untuk tujuan perniagaan dan pekerjaan memasuki negara terbabit.

RGL pula terpakai kepada mereka yang menjalankan perniagaan penting dan tugas rasmi kedua-dua negara.

Rakyat Malaysia boleh memilih skim PCA jika mahu pulang menjenguk keluarga yang tinggal sekitar Johor Bahru, namun kos perlu ditanggung sendiri terma­suk penginapan serta ujian calitan boleh mencecah hingga RM5,000 seorang.

Mereka juga perlu menjalani kuarantin diri selama 21 hari iaitu 14 hari di Malaysia dan tujuh hari di Singapura. Jika diambil kira, syarikat mana yang mahu menanggung atau membenarkan pekerjanya ambil cuti sehingga 21 hari.

Alasan-alasan inilah, ramai rakyat kita lebih rela untuk menjadi ‘gelandangan’ di negara me­tropolitan itu daripada kehila­ngan kerja jika pulang ke Malaysia.

Penularan pandemik Covid-19 memberi kesan ekonomi dan sosial bukan sahaja rakyat kita, malah penduduk di seluruh dunia ketika saat getir ini melanda, kita harus bertahan, mana ada kerja teruskan kerja demi survival hidup.

Semoga saintis dunia mampu menghasilkan vaksin mujarab sekaligus menghentikan kesengsaraan yang dihadapi kita ketika ini.-K! ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI