BACHOK – Seramai 1,500 anggota Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JPBM) telah dibekukan cuti mereka sebagai langkah awal untuk menghadapi musim banjir di negeri ini.
Pengarah JPBM negeri, Md. Salleh Sarbini berkata, mereka yang terlibat adalah anggota tetap, sukarelawan dan anggota bantuan yang akan bergegas ke lokasi yang mudah ditenggelami air pada bila-bila masa.
Katanya, cuti mereka dibekukan sepanjang musim Monson Timur Laut yang akan berlaku di negeri ini menjelang hujung tahun.
Menurutnya, selain itu, semua aset JPBM Kelantan yant terdiri daripada 40 buah bot, 10 buah lori dan 22 kenderaan pacuan empat roda akan digerakkan bagi membantu proses pemindahan mangsa banjir.
“Kita akan mendapat perkhidmatan udara dengan penyediaan sebuah helikopter jenis Agusta 139 bagi memudahkan kerja pemindahan mangsa banjir atau pesakit kronik sepanjang musim banjir terutama di kawasan pedalaman Gua Musang seperti Pos Bala dan Pos Broke.
“Anggota yang akan bertugas terutamanya ketika membantu mangsa banjir telah menjalani simulasi sebelum ini termasuk cara memindahkan mangsa yang mempunyai gejala jangkitan Covid-19,” katanya.
Beliau berkata demikian pada sidang akhbar selepas majlis perasmian pelancaran Pegawai Bomba Bantuan Safety Water dan Rescue Team (PBB SWART) dan Kesiapsiagaan Monson Timur Laut di Dataran Perahu Pantai Irama di sini hari ini.
Pelancaran berkenaan melibatkan 24 Pegawai Bomba Bantuan Kelantan dan Terengganu yang disempuranakan oleh Menteri Perumahan dan Kerajaan Tempatan, Zuraida Kamaruddin menerusi lintas langsung secara dalam talian antara Ibu Pejabat Bomba Putrajaya dan Pantai Irama Bachok.
Dalam majlis itu, demonstrasi menyelamat menggunakan helikopter dan kaedah menyelamat mangsa di laut turut dipersembahkan selain pameran pelbagai kelengkapan serta peralatan bomba.
Mengulas lanjut, menurut Md. Salleh, bekalan peralatan perlindungan diri (PPE) untuk menyelamat mangsa yang bergejala Covid-19 mencukupi sepanjang musim banjir tahun ini. – K! ONLINE.