KUALA LUMPUR – Gara- gara mencederakan pekerja kedai kopi kerana marah ditegur merokok di tempat awam minggu lalu, seorang lelaki didenda RM1,000 oleh Mahkamah Majistret di sini, hari ini.
Majistret Mohamed Fared Abdul Latif menjatuhkan hukuman itu terhadap Mitchel Glend Samson, 27, selepas dia mengaku bersalah atas pertuduhan yang disabitkan ke atasnya.
Mahkamah turut memerintahkan tertuduh menjalani hukuman penjara tiga bulan sekiranya denda gagal dibayar dan tertuduh membayarnya.
Mengikut pertuduhan, tertuduh didakwa telah mencederakan pekerja kedai Starbucks, Nur Hanisah Abu Hasan, 23, di hadapan kedai Starbucks Plaza Berjaya, Jalan Imbi, di sini, pukul 3.20 petang pada 13 November lalu.
Berikutan itu pendakwaan dikemukakan mengikut Seksyen 323 Kanun Keseksaan yang membawa hukuman penjara maksimum setahun atau denda yang boleh sampai RM2,000 atau kedua-duanya jika sabit kesalahan.
Dalam prosiding itu sebelum hukuman dijatuhkan, Majistret Mohamed Fared bertanya kepada tertuduh tentang apa yang terjadi ketika kejadian dan rayuannya untuk mengurangkan hukuman.
Tertuduh kemudian berkata dia sedang menunggu untuk membeli kopi namun selepas mengimbas aplikasi MySejahtera, statusnya didapati ‘high risk’ dan tidak dibenarkan masuk oleh pekerja kedai kopi tersebut.
“Saya kemudian duduk di tepi Starbucks sambil menghisap rokok sementara menunggu rakan untuk membelikan kopi untuk saya. Tetapi pekerja Starbucks datang dan menghalang saya dari menghisap rokok dengan cara yang kurang sopan.
“Saya cuba cakap baik-baik dengan dia tetapi tidak diendahkan dan saya mengaku bersalah kerana memang saya naik tangan kepada dia (mangsa),” katanya.
Timbalan Pendakwa Raya Abdul Khaliq Nazeri memohon mahkamah menjatuhkan hukuman setimpal sebagai pengajaran kepada tertuduh dengan mengambil kecederaan mangsa di bahagian mulut akibat kejadian itu. – K!ONLINE