HUBUNGAN penyanyi pop popular, Britney Spears dengan ayahnya, Jamie Spears memang diketahui tidak harmoni sejak beberapa tahun lalu, mereka bahkan pernah terheret ke mahkamah.
Dalam satu pendedahan baru-baru ini, pelantun Baby One More Time itu mengaku dia sebenarnya takut dengan sang ayah.
Perkara tersebut diberitahu peguamnya pada 10 November lalu di Los Angeles, Amerika Syarikat.
“Anak guam kami (Britney) memberitahu bahawa dia takut dengan ayahnya.
“Britney juga memberitahu dia tidak akan meneruskan kerjayanya sebagai penyanyi selagi si ayah mengawal pergerakan kariernya,” kata peguam selebriti tersebut.
Menurut laporan Entertainment Tonight, hubungan kedua-dua anak-beranak itu menjadi semakin renggang. Mereka juga sudah lama tidak berkomunikasi.
Hubungan antara Britney dengan ayahnya tegang selepas lelaki itu dikatakan mengawal perjalanan karier anaknya dengan menjadi konservator, iaitu individu yang mengawal sejumlah aspek dalam kehidupan seseorang termasuk kewangan.