PETALING JAYA – Yang di-Pertuan Agong, Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah dan Raja Permaisuri Agong, Tunku Azizah Aminah Maimunah Iskandariah menzahirkan ucapan takziah kepada seluruh keluarga Ahli Parlimen Gerik, Datuk Hasbullah Osman yang meninggal dunia petang tadi.
Istana Negara dalam satu kenyataan berkata, Seri Paduka Baginda berdua turut menzahirkan rasa sedih dengan pemergian Allahyarham akibat sakit jantung dan berharap agar seluruh keluarganya sabar dan tabah menghadapi suasana pilu itu.
“Seri Paduka Baginda berdua amat menyanjung tinggi dan menghargai khidmat bakti serta jasa Allahyarhamah kepada masyarakat dan negara.
Seri Paduka Baginda berdua mendoakan agar roh Allahyarhamah dicucuri rahmat oleh Allah SWT serta ditempatkan dalam kalangan orang yang beriman dan para solihin,” katanya di laman Facebook hari ini.
Selain Ahli Parlimen Gerik, Allahyarham yang berusia 63 tahun merupakan pengerusi Syarikat Perumahan Negara Bhd. dan antara satu wakil kerajaan Perikatan Nasional dalam Jawatankuasa Kira-kira Wang Negara.
Allahyarham juga pernah berkhidmat sebagai setiausaha politik Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin. – K! ONLINE