HANOI, Vietnam – Ribut Vamco membadai Vietnam hari ini dengan merosakkan bangunan-bangunan dan mencederakan sekurang-kurangnya lima orang, ketika korban bencana itu di Filipina meningkat kepada 67 orang.
Ribut itu tiba di daratan pagi tadi dan membawa angin selaju 90 kilometer sejam yang mengakibatkan pokok tumbang serta bumbung kediaman tercabut.
Vamco adalah ribut terbaru melanda Vietnam sejak enam minggu lalu. Bencana alam itu menyebabkan banjir dan tanah runtuh yang mengorbankan sekurang-kurangnya 159 penduduk dan 70 lagi hilang.
Laporan awal Pihak Berkuasa Pengurusan Bencana Vietnam hari ini menyatakan bahawa lima orang cedera ketika berusaha melindungi kediaman mereka.
Vamco semakin lemah selepas membadai Filipina sebagai taufan dengan angin selaju 155 kilometer sejam tetapi menurut media Vietnam, ribut itu masih menyebabkan kerosakan besar.
Pihak berkuasa Vietnam telah memindahkan hampir 650,000 orang dari tujuh wilayah pesisir pantai ke kawasan lebih tinggi dan lebih selamat sebelum ribut itu melanda.
Vamco adalah ribut paling berbahaya melanda Filipina tahun ini. Ribut itu membunuh sekurang-kurangnya 67 orang di pulau utama, Luzon sejak beberapa hari lalu dan menjejaskan kira-kira 1.7 juta penduduk di seluruh negara itu. – AFP