fbpx

Siasat pelaburan golf Trump

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
Gambar fail bertarikh 10 September 2019 menunjukkan kelab golf dan hotel Trump Turnberry di Turnberry, Scotland. – AFP

EDINBURGH, Scotland – Kerajaan Scotland digesa untuk mengadakan satu siasatan berhubung pembiayaan kepentingan perniagaan Presiden Amerika Syarikat (AS), Donald Trump di negara itu.

Pemimpin Parti Hijau, Patrick Harvie meminta Menteri Per­tama, Nicola Sturgeon menggunakan Akta Jenayah Pembiayaan untuk menyiasat dua buah padang golf Trump di negara itu.

Trump memiliki Trump International Golf Links Scotland di Aberdeenshire, timur laut Scotland, dan Turnberry di Ayrshire.

Harvie memberitahu Sturgeon di Parlimen pada Khamis lalu ­bahawa ada ‘keperluan untuk melindungi nama baik Scotland daripada dikaitkan dengan je­nama toksik Trump’.

Semasa satu debat, beliau berkata, ada ‘kebimbangan jangka panjang berhubung aktiviti perniagaan Trump’ termasuk ‘corak pembelian dan jualan seakan-akan pengubahan wang haram’.

Beliau turut membangkitkan dakwaan bahawa Trump Organization berulang kali melaporkan perincian kewangan berbeza di AS kepada mereka yang berada di United Kingdom (UK) mengenai padang golf Trump di Scotland.

“Kerajaan Scotland boleh ke mahkamah dan memohon satu perintah kewangan tidak diperjelas sebagai usaha mendapatkan jawapan.

“Kini, Trump dijangka hilang kekebalan daripada pendakwaan di AS, beliau mungkin akan dipanggil di sana. Adakah tiada kes di sini supaya beliau juga akan dipanggil (untuk disoal)?,” kata Harvie.

Perintah kewangan tidak diperjelas atau dipanggil ‘undang-undang McMafia’ diper­kenalkan oleh kerajaan UK pada 2017 sebagai kaedah memerangi pengubahan wang haram.

Perintah itu memberi kuasa kepada agensi penguatkuasaan untuk merampas dan menjual aset-aset mencurigakan khasnya hartanah jika pemilik gagal menjelaskan bagaimana mereka membayar untuk memilikinya.

Parti Hijau pernah membantah pembangunan padang golf Trump di Aberdeenshire dan cadangan membina lapangan ke­dua di kawasan berhampiran atas alasan alam sekitar.

Trump membeli tanah 567 hektar di Aberdeenshire pada 2006 dan berjanji untuk membina ‘lapangan golf terbaik dunia’ serta mewujudkan hampir 6,000 peluang kerja.

Ibu Trump berasal dari Isle of Lewis, Scotland. Trump membeli kelab golf Turnberry pada 2014 dan juga memiliki sebuah padang bermain golf di Ireland.

Pada Oktober tahun lalu, Kelab Golf Antarabangsa Trump di Scotland melaporkan mereka kerugian £1.07 juta (RM5.82 juta) untuk tahun 2018 selepas rugi £1.25 juta (RM6.8 juta) pada 2017. – AFP

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI