BERLIN – Satu kajian di Jerman mendakwa penduduk dunia menyimpan telefon bimbit tidak digunakan di rumah mereka atau menyamai berat 23,964 tan sampah elektronik.
Berat sisa elektronik itu menyamai 54 pesawat Boeing 747-8 atau 138 ekor paus biru.
Kajian itu dijalankan oleh firma jualan perkakas elektronik terpakai secara online, reBuy dan melibatkan 27 negara. Mereka mendapati ramai pemilik berasa sukar untuk melupuskan gajet yang tidak digunakan.
Ketua Pegawai Eksekutifnya, Philipp Gattner berkata, nilai jualan telefon bimbit terpakai itu dianggarkan bernilai 1.9 bilion euro (RM9.2 bilion).
Jumlah itu mewakili nilai logam berharga seperti emas, perak, paladium, platinum dan tembaga yang digunakan dalam pembuatan telefon pintar.
“Jualan sempena Black Friday dan Hari Krismas bakal menyaksikan penjualan lebih banyak barangan seperti telefon pintar, tablet dan konsol permainan baharu.
“Oleh itu, kami mahu mendidik orang ramai mengenai sampah elektronik dan membantu mereka membuat pertimbangan untuk beli barangan sudah dibaiki,” katanya dalam satu kenyataan.
Kajian itu mendedahkan negara seperti Sweden mempunyai purata sebanyak 1.31 telefon bimbit terpakai perkapita iaitu melebihi jumlah penduduknya.
Denmark pula merupakan negara dengan penduduk paling banyak menjual telefon bimbit terpakai atau menghadiahkannya dengan kadar purata 49 peratus.
Perancis dan Poland yang masing-masing mencatatkan sebanyak 41 peratus isi rumah menjual semula atau memberi telefon bimbit terpakai sebagai hadiah. –ETX Studio