MANCHESTER – Nama Cristiano Ronaldo kini kembali meniti di bibir para peminat Manchester United apabila pasukan itu dikatakan berpeluang untuk kembali mendapatkan khidmat bekas pemainnya itu.
Bagaimanapun, pada usia 35 tahun, ramai juga peminat yang sudah meragui kemampuan bintang Portugal itu ketika United sedang mencari jalan terbaik untuk kembali berada pada prestasi sebenar serta menamatkan kemarau kejuaraan Liga Perdana Inggeris.
Bagaimanapun, bekas jurulatih kecergasan United, Mick Clegg tampil mempertahankan Ronaldo apabila menganggap pemain itu mampu untuk terus kekal pada tahap tertinggi sehingga usianya 41 tahun.
“Sebelum Ronaldo, ada seorang lagi pemain yang mempunyai ketahanan tubuh badan yang kental serta memiliki tahap kecergasan yang tinggi iaitu Ryan Giggs.
“Dia seorang yang mempunyai daya ketahanan yang cukup tinggi. Jika Giggs mampu beraksi sehingga usia 40 tahun, saya fikir Ronaldo mungkin hanya akan bersara pada usia 41 tahun.
“Hanya Ronaldo mampu mengatasi apa yang telah dilakukan oleh Giggs,” kata Clegg yang berkhidmat untuk United ketika era Alex Ferguson.
Tambahnya, beliau menjangkakan bahawa Ronaldo juga mampu untuk memecahkan rekod jaringan sepanjang karier.
Pemenang lima Anugerah Ballon d’Or itu kini mengumpul 102 gol untuk aksi antarabangsa, kekurangan tujuh gol berbanding pemegang rekod, Ali Daie dari Iran.
Dia juga dijangka mampu memecahkan rekod penjaring sepanjang zaman, Josef Bican dari Austria yang meledak 805 gol sepanjang karier apabila merakam 746 gol setakat ini.
“Dia mampu untuk mengatasi Bican. Cuma dia perlu mengubah cara bermain dan peranannya dalam pasukan,” jelasnya. – AGENSI