fbpx

PM rakam ucapan takziah kepada keluarga Zaleha

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
Gambar hiasan

PUTRAJAYA – Tan Sri Muhyiddin Yassin dan keluarga merakamkan ucapan takziah kepada keluarga bekas Menteri Perpaduan Negara dan Pembangunan Masyarakat, Tan Sri Zaleha Ismail yang meninggal dunia pada pukul 8.15 malam tadi.

Perdana Menteri berkata, bagi pihak kerajaan, beliau menzahirkan penghargaan atas sumbangan besar Allahyarhamah dalam memperjuangkan hal berkaitan perpaduan dan pembangunan masyarakat sepanjang bergelar menteri Kabinet dari 1995 hingga 1999.

“Secara peribadi, saya mengenali beliau sebagai antara menteri wanita yang komited dalam menjalankan amanah dan disenangi ramai atas sikapnya yang mudah mesra dan peramah.

“Saya dan keluarga merakamkan ucapan takziah kepada keluarga Allahyarhamah yang kembali ke Rahmatullah malam tadi,” katanya dalam satu hantaran di Facebook hari ini.

Muhyiddin berkata, Allahyarhamah yang pernah berkhidmat di Dewan Bahasa dan Pustaka juga memainkan peranan besar dalam perkembangan bahasa dan persuratan Melayu di tanah air.

Pada masa sama, Muhyiddin turut mengajak semua mendoakan pemergian Allahyarhamah.

“Sama-samalah kita berdoa semoga roh Allahyarhamah dicucuri rahmat oleh Allah SWT dan ditempatkan dalam kalangan orang yang beriman dan beramal soleh,” katanya.

Zaleha meninggal dunia pada usia 84 tahun di sebuah hospital swasta di sini pada 8.15 malam tadi setelah mengalami sesak nafas.

Allahyarhamah selamat dikebumikan di Tanah Perkuburan Islam Taman Ibukota, Kuala Lumpur pada 11.15 pagi tadi. -K! ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI