KOTA BHARU – Polis menahan seorang pemandu lori yang dipercayai memandu secara berbahaya sehingga menyebabkan kecederaan terhadap dua beradik yang menaiki sebuah motosikal di Kilometer 75, Jalan Kota Bharu-Gua Musang berhampiran simpang Klinik Pahi dekat Kuala Krai semalam.
Kemalangan itu ditular di media sosial sosial sejak semalam sehingga menyebabkan polis mengambil tindakan segera untuk mengesan pemandu itu.
Ketua Polis Kelantan, Deputi Komisioner Shafien Mamat berkata, siasatan awal mendapati, kemalangan berlaku ketika pemandu lori yang berusia 44 tahun sedang dalam perjalanan dari Kuala Lumpur ke Kota Bharu pukul 8.30 pagi.
“Lori yang membawa muatan barangan untuk di hantar ke sebuah kedai serbaneka telah bertindak memotong sebuah lori lain di sebelah kanan jalan raya.
“Semasa sedang memotong, secara tiba-tiba sebuah motosikal jenis Yamaha Ego telah membelok ke kanan jalan sebelum bergesel dengan tayar lori yang dipandu suspek,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.
Menurut Shafien, siasatan mendapati, penunggang dan pembonceng wanita berusia 20 dan 22 tahun sedang dalam perjalanan ke tempat kerja di sebuah kedai percetakan di Pahi dekat Kuala Krai
Katanya, insiden itu menyebabkan penunggang motosikal yang mengalami cedera ringan, namun dibenarkan pulang selepas mendapat rawatan.
“Pembonceng motosikal pula masih dirawat di wad Hospital Sultan Ismail Petra, Kuala Krai,” katanya.
Kes disiasat mengikut Seksyen 42(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987 kerana memandu secara melulu dan berbahaya. – K! ONLINE