PETALING JAYA – Pelakon yang popular dengan watak Mona dalam drama Hati Yang Tersakiti, Nad Zainal mendedahkan dia reda sekiranya berdepan dengan masalah kecurangan dalam perkahwinannya.
Kata Nad, 30, atau nama sebenarnya, Farah Nadia Zainal Abidin, watak Mona boleh berlaku dalam kehidupan sebenar.
“Bukan bermaksud perkahwinan saya sekarang bermasalah. Kami sekeluarga bahagia sahaja.
“Pun begitu, kalau pasangan saya curang seperti cinta tiga segi antara watak Mona, Haris dan Farah, saya reda sahaja tapi saya tidak suka kecurangan itu sampai ke pengetahuan saya daripada mulut orang lain.
“Pada tahap sekarang sudah mempunyai anak, kalau saya berkongsi nasib seperti Mona, saya tidak kisah, namun tidak bermakna saya sokong poligami,” katanya kepada Kosmo! Ahad.
Ujar Nad lagi, dia percaya dalam perkahwinan, akan tiba satu fasa tiada lagi kehangatan dalam hubungan suami isteri atas beberapa faktor.
“Macam saya cakap tadi, keutamaan akan berubah terutama kalau sudah mempunyai anak.
“Bergaduh itu penting dalam perkahwinan untuk kenal hati budi pasangan lebih mendalam. Macam saya dengan suami kalau bergaduh hal-hal kecil, kami pun sudah tahu akhirnya kami akan berbaik semula,” katanya.
Nad mendirikan rumah tangga bersama Muhammad Faliq Amirullah pada 18 Disember 2015 dan dikurniakan seorang anak lelaki Fahad Ibrahim yang kini berumur empat tahun.
Nad Zainal kini hamil anak kedua.