VALENCIA – Seperti dijangka, pelumba pasukan Suzuki Ecstar, Joan Mir merangkul gelaran Kejuaraan Motosikal Dunia (MotoGP) pada Grand Prix (GP) Valencia di Litar Ricardo Tormo sebentar tadi.
Meskipun sekadar menamatkan perlumbaan di tempat ketujuh, namun ia sudah memadai buat pelumba Sepanyol itu untuk bergelar juara dunia apabila mengumpul 171 mata, sekali gus menjadi pelumba Suzuki pertama melakukannya sejak tahun 2000.
Memulakan perlumbaan di petak ke-12, Mir menampilkan tunggangan konsisten sepanjang saingan dan sesekali dilihat cuba memintas pelumba-pelumba di hadapan.
“Sukar untuk saya ungkapkan dengan kata-kata sekarang kerana terlalu gembira dengan gelaran yang dicapai ini. Emosi saya bercampur-baur ketika ini dan sukar untuk diluahkan.
“Secara jujur, sukar dipercayai saya mampu melakukannya. Bagi saya, ia boleh dianggap sebagai mimpi jadi kenyataan kerana sudah lama saya impikan gelaran ini,” kata Mir sejurus tamat perlumbaan.
Pada perlumbaan itu, pelumba pasukan Petronas Yamaha Sepang Racing (SRT), Franco Morbidelli muncul pemenang, diikuti pelumba Pramac Racing, Jack Miller dan penunggang Red Bull KTM, Pol Espargaro.
Sementara itu, pencabar terdekat Mir dari pasukan Petronas Yamaha SRT, Fabio Quartararo sekadar berputih mata apabila terjatuh pada pusingan kesembilan perlumbaan. – K! ONLINE