fbpx

Kanak-kanak lelaki maut tertusuk pisau, kempunan kari kambing

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
Mayat J. Adithiyan dibawa balik ke Taman Cempaka, Kampung Koh di Sitiawan selepas selesai bedah siasat di Hospital Raja Permaisuri Bainun (HRPB) di Ipoh hari ini.

IPOH – Keinginan seorang kanak-kanak lelaki untuk menikmati kari kambing hidangan sambutan Deepavali tidak kesampaian apabila maut tertusuk pisau dalam kejadian di Taman Cempaka, Kampung Koh di Sitiawan kelmarin.

Dalam kejadian pada pukul 10.20 malam itu, mangsa, J. Adithiyan, 7, meninggal dunia akibat kecederaan tertusuk pisau di bahagian dada.

Bapa saudara mangsa, D. Mathialagan 43, berkata, kejadian berlaku ketika mereka sekeluarga yang tinggal bersebelahan rumah sedang membuat persiapan menyambut perayaan Deepavali, semalam.

Katanya, dia yang ketika itu sedang memasak di dapur bagaimanapun terkejut mendengar jeritan ahli keluarga lain yang menyebabkan dia segera ke hadapan rumah.

“Saya panik melihat Adithiyan terbaring dalam keadaan berlumuran darah. Ketika itu, dia dalam keadaan lemah dan kami segera membawanya ke Hospital Seri Manjung untuk rawatan,” katanya ketika ditemui di Jabatan Forensik Hospital Raja Permaisuri Bainun (HRPB) di sini hari ini.

Menurut Mathialagan, sebelum kejadian, seorang saudara wanitanya yang sedang membuat hiasan kolam di hadapan rumah meminta anak perempuannya yang berusia 11 tahun mengambil pisau di dalam rumah.

Katanya, ketika kanak-kanak itu keluar untuk memberi pisau kepada ibunya, mangsa yang berlari dari halaman rumah telah terlanggar sepupunya itu dan menyebabkan pisau tersebut tertusuk mangsa secara tidak sengaja.

Tambahnya, kejadian berlaku di hadapan bapa mangsa yang ternampak anak bongsu daripada tiga beradik itu terjatuh dengan banyak darah keluar dari bahagian dadanya.

“Kami sedih dengan kejadian itu kerana ia berlaku tiba-tiba. Adithiyan sangat teruja untuk menyambut Deepavali hingga meminta saya mewarnakan rambutnya dan mahu bermain mercun.

“Terkilan rasanya apabila keinginannya untuk makan kari kambing juga tidak kesampaian. Dia minta untuk makan tetapi kami cakap tunggu esok (semalam) selepas sembahyang,” katanya.

Sementara itu, Ketua Polis Daerah Manjung, Asisten Komisioner Nor Omar Sappi ketika dihubungi mengesahkan kejadian itu namun enggan mengulas lanjut bagi mendapatkan laporan bedah siasat terlebih dahulu.

Mayat mangsa yang dihantar ke HRPB untuk bedah siasat akan dikebumikan di Sitiawan esok. – K! ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI