ALOR SETAR – Kira-kira 5,000 penjawat awam dan anggota pentadbiran Kerajaan Negeri Kedah bakal menerima bantuan khas kewangan berjumlah RM1,000 seorang pada bulan depan.
Menteri Besar, Muhammad Sanusi Md. Nor berkata, bantuan khas sebanyak RM5.6 juta itu adalah bagi menghargai sumbangan dan pengorbanan seluruh kakitangan awam di negeri itu.
“Kerajaan negeri mengakui kakitangan awam negeri komited melaksanakan semua dasar dan arahan kerajaan seperti menguruskan Pusat Kawalan Operasi Bencana ketika pandemik Covid-19,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika membentangkan Belanjawan Kedah 2021 di Wisma Darul Aman di sini hari ini.
Muhammad Sanusi pada masa sama memberitahu, kerajaan negeri juga bersetuju memberi sumbangan secara sekaligus sebanyak RM200 kepada petugas barisan hadapan di Jabatan Kesihatan Negeri pada akhir tahun ini.
“Kerajaan negeri merakamkan penghargaan kepada semua petugas barisan hadapan yang terus bekerja tanpa henti bagi mengekang penularan Covid-19,” katanya. – K! ONLINE