LIVERPOOL – Pemain pertahanan Liverpool, Joe Gomez yakin dia mampu untuk kembali lebih baik dan kuat selepas memulakan proses pemulihan masalah kecederaan lutut yang dialaminya.
Pemain berusia 23 tahun itu dilaporkan mengalami kecederaan lutut ketika menjalani sesi latihan bersama England menjelang aksi Liga Negara-Negara Eropah.
Liverpool dalam satu kenyataan mengesahkan bahawa pembedahan tersebut berjaya dilakukan tetapi pemain itu mungkin terlepas aksi sepanjang musim ini untuk menjalani proses rawatan dan pemulihan.
Gomez sebelum ini pernah berdepan isu kecederaan anterior cruciate ligament (ACL) pada 2015 ketika beraksi bersama skuad bawah-21 tahun England menyebabkan dia terpaksa berehat setahun.
Kecederaan buku lali juga menyaksikan dia terlepas aksi final Liga Juara-Juara bersama Liverpool pada 2018 dan aksi Piala Dunia sebelum mengalami patah kaki pada musim berikutnya.
Namun, Gomez mengakui siri kecederaan itu tidak pernah mematahkan semangatnya untuk kembali lebih kuat.
“Perjalanan untuk proses pemulihan sudah bermula. Saya pernah berada di sini sebelum ini, saya tahu apa yang perlu dilakukan untuk kembali lebih kuat.
“Ia suatu yang mengecewakan tetapi ini adalah perancangan tuhan dan saya percaya semua yang berlaku ada sebabnya,” jelasnya. – AGENSI