fbpx

Empat dalang pecah rumah kecundang

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
Gambar hiasan

GOMBAK – Polis Gombak menahan empat lelaki tempatan bagi membantu siasatan berhubung kejadian pecah rumah di Taman Sri Selayang, Batu Caves di sini pada 25 September lalu.

Ketua Polis Daerah Gombak, Asisten Komisioner Arifai Tarawe berkata, pihaknya menerima satu laporan berhubung kejadian pecah rumah daripada seorang lelaki tempatan yang memaklumkan tentang kehilangan telefon bimbit serta wang tunai dianggarkan bernilai lebih RM1,000.

“Bertindak atas maklumat, sepasukan polis dari Balai Polis Rawang telah membuat serbuan ke atas sebuah rumah flat di Country Homes, Rawang kira-kira pukul 12.30 tengah malam pada 13 September lalu dan berjaya menahan seorang lelaki tempatan.

“Hasil pemeriksaan di rumah tersebut telah menjumpai barang milik pengadu termasuk pelbagai barangan disyaki hasil daripada kegiatan pecah rumah dan juga beberapa peralatan yang dipercayai digunakan untuk aktiviti berkenaan,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Menurut Arifai, soal siasat yang dilakukan telah membawa kepada penangkapan seorang lagi lelaki tempatan pada pukul 1.30 pagi hari yang sama di kawasan perumahan di sekitar Country Homes, Rawang.

“Kira-kira pukul 3 pagi, pihak polis kemudiannya melakukan satu lagi serbuan di sebuah rumah di kawasan sama dan telah menahan dua lelaki tempatan.

“Semasa proses tangkapan sedang dilakukan, suspek cuba melarikan diri dan berlaku pergelutan namun keadaan berjaya dikawal tidak lama kemudian dan pemeriksaan pada tubuh suspek telah menemui dua bilah pisau,” katanya.

Jelas Arifai, siasatan awal mendapati kesemua suspek terlibat dalam kes pecah rumah pengadu dan penahanan mereka telah berjaya menyelesaikan sebanyak tujuh kes pecah rumah dan kes curi kenderaan serta satu kes mendatangkan kecederaan menggunakan senjata di kawasan Rawang juga Selayang.

“Kesemua suspek yang ditahan berusia 19 hingga 31 tahun dan mempunyai rekod jenayah lampau membabitkan kes jenayah serta dadah.

“Kes disiasat di bawah Seksyen 457 Kanun Keseksaan. Tiga suspek ditahan reman selama tujuh hari sehingga 20 November manakala seorang lagi suspek direman selama empat hari sehingga 17 November ini untuk siasatan lanjut,” tegas beliau.

Dalam perkembangan sama, Arifai turut memaklumkan tentang penagkapan dua lelaki warga negara Myanmar yang juga pemegang kad Suruhanjaya Tinggi Bangsa-Bangsa Bersatu Mengenai Pelarian (UNHCR).

“Kedua-dua suspek berusia 30 dan 40 tahun itu ditahan polis ketika cuba melarikan diri daripada sebuah rumah yang telah dipecah masuk namun kegiatan mereka diketahui oleh pemilik rumah selepas menerima makluman menerusi applikasi kamera televisyen litar tertutup (CCTV) yang dipasangnya.

“Kedua-dua suspek kini direman selama 14 hari sehingga 28 November dan kes disiasat di bawah Seksyen 457 Kanun Keseksaan,” katanya. – K! ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI