fbpx

Dua lagi penghuni Medan 88 serah diri

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
Gambar hiasan

SEPANG – Dua lagi penghuni daripada kawasan Perintah Kawalan Pergerakan Diperketatkan (PKPD) di Medan 88, di Bandar Baru Salak Tinggi menyerah diri kepada pihak berkuasa hari ini.

Ketua Polis Daerah Sepang, Asisten Komisioner Wan Kamarul Azran Wan Yusof berkata, ini menjadikan jumlah keseluruhan penghuni Medan 88 yang telah menyerah diri adalah seramai 29 orang dalam tempoh empat hari lepas.

“Mengikut pecahan jantina, daripada jumlah itu, seramai 21 adalah lelaki dan lapan adalah wanita,” katanya dalam satu kenyataan akhbar di sini hari ini.

Wan Kamarul Azran berkata, berdasarkan pecahan mengikut kewarganegaraan, individu terbabit terdiri daripada warga Indonesia dan Thailand masing-masing seramai tujuh orang selain satu warga India, Nepal dan Myanmar.

“Warga tempatan pula melibatkan seramai sembilan lelaki dan tiga wanita,” katanya.

Dalam pada itu, katanya, jumlah orang yang telah disaring adalah seramai 324 orang.

Tambahnya, berdasarkan rekod jumlah positif Covid-19 pula, seramai 44 orang positif saringan sebelum PKPD dilaksanakan.

“Sementara itu, jumlah positif saringan selepas PKPD dilaksanakan adalah seramai empat orang daripada 324 saringan.

” Secara keseluruhannya jumlah positif Covid-19 di Medan 88 adalah seramai 48 orang setakat ini,” katanya.

Menurutnya, polis akan mempertingkatkan usaha bagi mengesan penduduk  yang hilang di samping mengharapkan bantuan orang ramai  bagi  menyalurkan bantuan.

PKPD di kawasan  itu diumumkan Menteri Kanan (Keselamatan), Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob, bermula 12 November lalu sehingga 25 November membabitkan 88 unit rumah kedai, 284 premis dan seramai 800 penduduk. – K! ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI