BARRANQUILLA, Colombia – Bintang Manchester United, Edinson Cavani mempamerkan kelas tersendiri apabila berjaya memainkan watak penting dengan meledak satu gol dalam kemenangan 3-0 ke atas Colombia di Estadio Metropolitano awal pagi semalam.
Meskipun sekadar meledak satu gol pada minit kelima, namun kecemerlangan Cavani, 33, mendapat pujian melangit daripada ketua jurulatih Uruguay, Oscar Tabarez yang kembali menyenaraikan penyerang prolifik itu dalam kesebelasan utama skuad bimbingannya.
Ia adalah perlawanan antarabangsa pertama buat bekas ‘mesin gol’ Paris Saint-Germain itu bersama Uruguay sejak November tahun lalu.
“Saya sangat berpuas hati dengan prestasi Cavani. Dia sudah mula menunjukkan kemampuan dan rentak sebenarnya selepas sebelum ini lama tidak bermain,” kata Tabarev.
Lebih menarik, pengendali berusia 73 tahun itu tidak menjangka skuad bimbingannya mampu meraih kemenangan selesa menerusi tiga jaringan memandangkan Colombia lebih menguasai perlawanan dengan banyak percubaan dilakukan sepanjang aksi tersebut.
“Kami cuba merencana strategi untuk mengekang asakan Colombia tetapi saya tidak pernah menjangka mampu menang dengan keputusan 3-0 apabila beraksi di Barranquilla. Saya lega kerana tiga mata ini cukup bermakna buat kami,” jelasnya.
Selain Cavani, dua lagi gol skuad La Celeste itu diperoleh menerusi sepakan penalti penyerang Atletico Madrid, Luis Suarez dan bintang sedang meningkat naik yang kini beraksi dengan Benfica,
Darwin Nunez.Selepas ini, Uruguay yang kini menduduki tangga keempat zon kelayakan Amerika Selatan, akan menentang pendahulu, Brazil Rabu ini. – AGENSI