fbpx

Bapa tiri durjana dicekup

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
Gambar hiasan.

GOMBAK – Seorang lelaki ditahan bagi membantu siasatan berhubung dakwaan perlakuan amang seksual ke atas tiga anak tirinya yang berusia 14 hingga 20 tahun di sebuah rumah di Bandar Baru Selayang sini antara Februari hingga Oktober lalu.

Ketua Polis Daerah Gombak, Asisten Komisioner Arifai Tarawe berkata, pihaknya menerima laporan berhubung kejadian daripada mangsa, seorang kanak-kanak perempuan berusia 14 tahun yang ditemani oleh abang dan ibu saudaranya semalam.

“Mangsa mendakwa, bapa tirinya sering melakukan perbuatan tidak bermoral itu ketika ibu mereka sedang tidur atau tiada di rumah malah mangsa turut diugut oleh lelaki berkenaan agar tidak memberitahu tentang kejadian kepada sesiapa.

“Kejadian turut melibatkan dua lagi kakak kepada pengadu yang berusia 20 serta 15 tahun yang mana mangsa berusia 20 tahun merupakan Orang Kelainan Upaya (OKU) lembam,” katanya menerusi satu kenyataan di sini hari ini.

Menurut Arifai, apabila abang serta ibu saudara mangsa mengetahui mengenai perkara itu, mereka telah membawa mangsa membuat laporan polis dan ketiga-tiga mangsa telah dihantar ke Hospital Selayang untuk pemeriksaan perubatan.

“Kira-kira pukul 12.40 awal pagi tadi, suspek berusia 52 tahun telah ditangkap di sekitar kawasan Selayang dan telah dibawa ke Mahkamah Selayang pada pukul 9.30 pagi tadi untuk mendapatkan permohonan reman.

“Mahkamah membenarkan reman selama tujuh hari ke atas suspek yang bekerja sebagai kontraktor pembinaan dan kes disiasat di bawah Seksyen 377C Kanun Keseksaan dan Seksyen 14(a) Akta Kesalahan Seksual Terhadap Kanak-Kanak 2017,” tegas beliau. – K! ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI