PELUMBA Racing Point, Lance Stroll melakukan kejutan di Grand Prix (GP) Turki apabila menempah petak hadapan buat kali pertama sepanjang karier saingan Formula Satu (F1) selepas tampil cemerlang di Litar Intercity Istanbul Park, Istanbul sebentar tadi.
Tuah hujan memberi kelebihan kepada Stroll untuk mencatat masa terpantas sekali gus mengetepikan cabaran pelumba Red Bull Racing, Max Verstappen yang terpaksa berpuas hati tempat kedua.
Lebih menarik rakan sepasukan Stroll, Sergio Perez turut tampil cemerlang apabila mengakhiri saingan sesi kelayakan ketiga di tempat ketiga terpantas selepas bijak melakukan strategi pertukaran tayar.
Pada sesi kelayakan tersebut beberapa pelumba gagal menamatkan saingan selepas terbabas termasuk pelumba Mercedes, Lewis Hamilton yang dilihat bergelut beraksi dalam keadaan litar licin dan sekadar menamatkan saingan keenam terpantas.
“Saya terkejut dan gembira kerana berjaya mencatat masa terpantas pada sesi kelayakan ini. Beraksi dalam keadaan hujan dan litar yang licin sudah pasti memberi kesukaran kepada semua pelumba.
“Saya ada keyakinan pada jentera dan saya hanya melakukan terbaik pada pusingan terakhir. Permulaan terbaik buat saya dan pasukan pada perlumbaan esok,”kata Stroll sejurus tamat perlumbaan. – K! ONLINE