PETALING JAYA – Pelakon Shaheizy Sam memohon maaf secara terbuka berikutan keterlanjurannya menggantung rokok elektronik (vape) di lehernya pada acara Anugerah Bintang Popular (ABPBH) ke-33 malam tadi.
Sam atau nama sebenarnya, Shaheizy Sam Abdul Samad, 38, berkata, dia tidak mempunyai niat untuk mempromosikan penggunaan vape dalam kaca televisyen.
“Tiada orang lain yang salah, memang diri saya sendiri. Saya gementar malam tadi dengan belakang pentas yang lengang tiada orang, fokus hanya nak buat yang terbaik untuk acara itu sampai lupa apa yang ada pada diri hingga saya bawa naik atas pentas.
“Tiada niat nak mempromosikan. Semuanya berlaku atas kecuaian dan kelalaian saya. Saya minta maaf sangat-sangat. Saya sedar ramai yang bising dalam sosial media. Insya-Allah perkara ini tidak akan berulang lagi,” kata pelakon filem Polis Evo itu.
Tanpa berselindung, suami kepada pelakon Syatilla Melvin itu turut memaklumkan, vape memang keperluan dirinya sejak setahun.
“Apa yang tergantung pada saya ini adalah keperluan saya sendiri. Saya sudah gantung banyak dekat lebih setahun.
“Ini memang kegunaan saya sendiri. Dua tiga jam habis bateri, saya ada satu lagi dan saya memang sentiasa perlukan banyak (vape),” jelasnya.
Malam tadi, tindakan Sam menggantung vape di lehernya ketika menjadi penyampai anugerah bagi kategori Artis Baharu Popular ABPBH ke-33 mengundang teguran pengendali akaun Facebook Public Health Malaysia (PHM).
“Sedih melihat budaya buruk dipromosikan sebegini. Bukan tiada ahli produksi yang boleh menyaring penampilan selebriti sebelum live di kaca televisyen.
“Usah sembang mengenai pematuhan SOP jika promosi vape sebegini pun boleh lepas dalam tayangan live,” ciap PHM di Twitter. – K! ONLINE