BATU PAHAT – Seorang remaja menemui ajal selepas tergelincir sebelum terjatuh ke dalam gaung ketika melakukan aktiviti mendaki di Bukit Banang di sini pagi tadi.
Dalam kejadian pada pukul 11.30 pagi itu, mangsa, Aina Nabilah Yusof, 20, meninggal dunia selepas cedera parah pada anggota badan dan kepala.
Menurut Komander Operasi Penolong Kanan Penguasa Bomba Mohd. Fauzi Mohd. Nor, mangsa terjatuh ketika mendaki bukit bersama rakannya di kawasan berkenaan.
Mangsa dipercayai tergelincir ketika melalui laluan curam bukit sebelum terjatuh ke dalam gaung sedalam 80 meter.
“Pusat Gerakan Operasi (PGO) menerima panggilan kecemasan pada pukul 11.34 pagi sebelum operasi mencari dan menyelamat (SAR) mangsa jatuh gaung digerakkan.
“Sebuah jentera FRT, dua EMRS dari Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Batu Pahat dan BBP Penggaram dengan kekuatan keseluruhan seramai enam belas 16 orang anggota telah dihantar ke tempat kejadian,” katanya dalam satu kenyataan di sini hari ini.
Mohd. Fauzi berkata, mangsa berjaya dibawa naik menggunakan tali dengan kaedah hauling dan lowering.
Mangsa disahkan meninggal dunia pasukan perubatan Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) sebelum mayat diserahkan kepada polis untuk tindakan lanjut.
Jelas Mohd. Fauzi, operasi SAR itu ditamatkan pada pukul 5.18 petang – K! ONLINE