KAJANG – Seorang lelaki maut selepas motosikal ditunggangnya merempuh bahagian belakang sebuah lori yang dipandu perlahan dalam satu kemalangan di Kilometer 301.1 Lebuh Raya Kuala Lumpur-Seremban di sini semalam.
Ketua Polis Daerah Kajang, Asisten Komisioner Mohd. Zaid Hassan berkata, kejadian berlaku kira-kira pukul 11.30 pagi ketika mangsa berusia 28 tahun yang bekerja sebagai posmen sedang dalam perjalanan menghantar barangan pos laju kepada pelanggan di Bandar Seri Mahkota, Bangi.
“Siasatan awal mendapati, kemalangan berlaku apabila mangsa yang menunggang motosikal jenis Modenas di lorong kecemasan gagal mengelak dan melanggar bucu kanan sebuah lori jenis Toyota yang dipandu perlahan di lorong sama selepas mengalami masalah enjin.
“Susulan perlanggaran itu, mangsa mengalami kecederaan parah pada kepala termasuk patah di beberapa bahagian badan manakala pemandu lori berusia 23 tahun tidak mengalami sebarang kecederaan,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.
Jelas Mohd. Zaid, mangsa yang disahkan meninggal dunia di tempat kejadian seterusnya di hantar ke Unit Forensik Hospital Serdang untuk dibedah siasat manakala kenderaan terlibat dibawa ke Ibu Pejabat Polis Daerah Kajang untuk tindakan Puspakom.
“Siasatan berhubung kejadian masih diteruskan dan kes diklasifikasikan di bawah Seksyen 41(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987,” tegas beliau. – K! ONLINE.