PETALING JAYA – Polis Gombak menafikan dakwaan adanya upacara keagamaan yang dilakukan secara besar-besaran di kuil Batu Caves seperti yang ditularkan di laman sosial serta aplikasi Whatsapp semalam.
Ketua Polis Daerah Gombak, Asisten Komisioner Arifai Tarawe berkata, siasatan yang dilakukan mendapati tiada sebarang program yang diadakan di lokasi berkenaan pada tarikh tersebut.
“Kita dapati hanya pada 19 September lalu satu program keagamaan telah diadakan dalam kawasan kuil yang mana ketika itu program keagamaan dibenarkan mengikut prosedur operasi standard (SOP) Perintah Kawalan Pergerakan Pemulihan (PKPP).
“Pihak kuil telah tetapkan kepada pengunjung agar mematuhi SOP PKPP seperti pemakaian pelitup muka, daftar nama dan penggunaan ‘hand sanitizer’ malah ketika itu juga SOP rumah ibadat adalah 1/3 daripada jumlah maksimum pengunjung,” katanya ketika dihubungi.
Jelas beliau, jawatankuasa masjid atau surau serta semua pengurusan rumah ibadat turut telah diingatkan agar sentiasa mengawal pengunjung dan pematuhan SOP semasa program keagamaan diadakan.
Terdahulu, satu klip video berdurasi 2 minit 45 saat tular di laman sosial Facebook dan aplikasi Whatsapp memaparkan satu upacara keagamaan dipercayai berlaku di kuil Batu Caves yang didakwa sempena sambutan perayaan Deepavali.-K!ONLINE