SEBERANG PERAI – Sepasang kekasih yang dipercayai mencuri enam ekor kambing dari sebuah kandang di Butterworth di sini ditahan polis malam tadi.
Kedua-dua mereka yang berusia 24 dan 25 tahun itu dicekup dalam serbuan di sebuah rumah di Mak Mandin, Butterworth kira-kira pukul 9.30 malam.
Polis bagaimanapun hanya menemui semula dua ekor kambing yang telah dijual kepada seorang lelaki, namun empat ekor lagi dipercayai telah disembelih.
Ketua Polis Daerah Seberang Perai Utara (SPU), Asisten Komisioner Noorzainy Mohd. Noor berkata, kejadian itu disedari oleh pemiliknya iaitu lelaki berusia 32 tahun yang mendapati enam ekor kambingya telah hilang pada Selasa lalu.
“Hasil maklumat itu, polis menahan seorang lelaki yang dipercayai membeli kambing itu pada harga RM300 untuk dua ekor dan menemui semula kambing tersebut.
“Seterusnya kita berjaya menahan pasangan tersebut yang dipercayai mencuri kambing berkenaan sebelum menjualnya, namun empat ekor lagi dipercayai telah disembelih,” katanya kepada pemberita hari ini.
Noorzainy berkata, ketiga-tiga suspek yang masing-masing mempunyai rekod lampau itu ditahan di Ibu Pejabat Polis Daerah SPU di Kepala Batas di sini bagi siasatan lanjut.
Kes itu disiasat mengikut Seksyen 379 Kanun Keseksaan. – K! ONLINE