fbpx

Nelayan melecur muka, tangan akibat enjin bot terbakar

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
Anggota APMM Pulau Pinang membantu menyelamatkan seorang nelayan yang melecur pada muka dan tangannya dalam kejadian enjin bot terbakar di kedudukan 1.2 batu nautika tenggara Pulau Rimau di sini tengah hari tadi.

Oleh NOOR HASLIZA NUSI

GEORGE TOWN – Seorang nelayan terpaksa menahan kesakitan selepas melecur pada muka dan tangan akibat terkena api pada enjin bot yang terbakar di kedudukan 1.2 batu nautika tenggara Pulau Rimau dekat sini hari ini.

Dalam kejadian kira-kira pukul 12 tengah hari itu, mangsa yang dikenali sebagai Azrin, 35, terpaksa mendapatkan bantuan daripada pasukan Maritim Malaysia (APMM) Pulau Pinang untuk dibawa mendapatkan rawatan segera di hospital.

Pengarah Maritim Negeri, Kepten Maritim Abd. Razak Mohamed berkata, pihaknya menerima panggilan kecemasan berhubung kejadian melalui MERS 999 lalu segera mengarahkan gerakan Bot KILAT 4 APMM ke lokasi yang dilaporkan.

Menurut beliau, bot nelayan tempatan yang dinaiki mangsa bersama empat kru termasuk tekong masing-masing berusia 24 hingga 44 tahun.

“Bot dari Pangkalan Kuala Muda negeri ini terbakar di bahagian enjin sehingga menyebabkan seorang daripadanya melecur pada muka manakala tangannya terbakar.

“Empat lagi kru termasuk tekong tidak mengalami sebarang kecederaan dan di benarkan pulang bersama bot ke Jeti Pangkalan Kuala Muda untuk tujuan pembaikan,” katanya dalam satu kenyataan di sini tadi.

Beliau memberitahu, mangsa yang cedera bagaimanapun telah dipindahkan ke bot KILAT 4 untuk dihantar ke Jeti Pangkalan Polis Marin (PPM) Batu Uban di sini sebelum dibawa ke Hospital Pulau Pinang untuk rawatan lanjut.

Justeru tambahnya, orang ramai diminta memberi kerjasama sekiranya berlaku sebarang kecemasan di laut dengan menyalurkan maklumat lengkap kepada pihak Maritim Malaysia melalui talian 24 Jam iaitu MERS 999 atau terus hubungi Pusat Operasi Maritim Pulau Pinang, 04-2626146 atau 04-264 3650. – K! ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI