LUMUT – Seorang mekanik kereta yang disyaki membunuh peniaga buah-buahan yang menuntut hutang daripadanya direman selama enam hari bermula hari ini.
Ketua Polis Daerah Manjung, Asisten Komisioner Nor Omar Sappi berkata, Mahkamah Majistret Seri Manjung membenarkan polis menahan reman suspek yang berusia 51 tahun itu sehingga 19 November ini.
Katanya, turut direman mengikut tempoh sama ialah adik lelaki kepada suspek berusia 40-an untuk membantu siasatan kes tersebut.
“Kedua-duanya ditahan untuk disiasat mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan.
“Bagaimanapun, siasatan awal setakat ini mempercayai hanya mekanik itu yang terlibat dalam kejadian tersebut,” katanya ketika dihubungi hari ini.
Kosmo! Online semalam melaporkan seorang peniaga buah-buahan yang mahu menuntut hutang maut selepas ditikam seorang mekanik dalam satu pergaduhan di sebuah bengkel kenderaan di Sitiawan.
Dalam kejadian kira-kira pukul 12.50 tengah hari semalam di Jalan Raja Omar, Kampung Selamat, Sitiawan, mangsa yang berusia 42 tahun mati di tempat kejadian akibat kecederaan parah dengan kesan tikaman di leher dan perut.
Mangsa bersama anaknya yang berusia 15 tahun dikatakan datang ke bengkel suspek kerana mahu menuntut hutang sebelum berlaku pergaduhan.
Suspek yang dalam keadaan berlumuran darah, ditemani adiknya kemudian menyerah diri di balai polis dan turut menyerahkan senjata digunakan dalam pergaduhan itu kepada pihak polis.
Nor Omar berkata, siasatan setakat ini hanya mengenal pasti isu hutang sebagai motif utama kes berkenaan dan tiada motif lain terlibat.
Beliau berkata, bedah siasat terhadap mayat mangsa dijangka dilakukan di Hospital Raja Permaisuri Bainun di Ipoh pada pukul 2 petang ini. – K! ONLINE.