PUTRAJAYA – Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (Jakim) akan melancarkan kempen digital dikenali sebagai Kembara Al-Amin Misi Melebar Risalah, selama 46 hari bermula Isnin ini.
Timbalan Ketua Pengarah (Operasi) Jakim, Datuk Abdul Aziz Jusoh berkata, kembara yang menggunakan platform media sosial itu menyasarkan untuk mencapai sejuta pengikut Facebook (FB) Jakim menjelang akhir tahun ini.
Beliau berkata, program itu akan dilancarkan Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama), Datuk Seri Dr Zulkifli Mohamad Al-Bakri Isnin ini secara atas talian di laman FB Jakim.
“Beberapa acara diperkenalkan termasuk menyediakan kandungan baharu di media sosial Jakim, mempromosikan produk perkhidmatan Jakim serta memperkenalkan kandungan kreatif dan interaktif.
“Program Kembara Al-Amin merupakan jenama utama yang mengandungi beberapa segmen menarik untuk disiarkan dalam bentuk poster, infografik dan video secara berkala di laman FB Jakim,” katanya dalam kenyataan akhbar hari ini.
Katanya, program akan bermula pada 16 November hingga 31 Disember depan.
Abdul Aziz berkata, sebanyak 10 segmen dilaksanakan yang sesuai dengan pelbagai lapisan umur dan merentas kaum termasuk soal jawab agama umum, Oh! Baru Tahu dan siaran soal jawab agama yang diadaptasi dari buku Bayan Linnas.
Menurutnya, segmen lain termasuk Tanya Jakim, Heart Talk (bicara santai), Ajaibnya Doa, Refleksi Al-Amin, 1 Hari 1 Ayat, Vokal Orang Muda, #togethertilljannah, Menu Al-Amin dan Teka Jawi. – K! ONLINE