GUA MUSANG – Lebih 500 masyarakat India di daerah ini menyambut Deepavali secara sederhana dengan kebiasaan baharu.
Bagi pasangan P. Pandiyan, 61, dan E. Sarasu, 56, mereka menyambut pesta cahaya bersama ahli keluarga terdekat dan jiran tetangga pelbagai kaum.
Pandiyan berkata, meskipun bersedih kerana tiga anak, menantu serta cucu tidak dapat pulang beraya, namun kesedihan mereka terubat dengan kehadiran rakan terdekat.
Katanya, mereka juga mengikut prosedur operasi standard (SOP) yang ditetapkan kerajaan untuk menyambut Deepavali seperti memeriksa suhu badan tetamu dan mewajibkan pemakaian pelitup muka.
“Deepavali merupakan masa untuk kami mengeratkan hubungan apabila saling kunjung-mengunjung jiran tetangga.
“Meskipun berdepan kembimbangan akibat penularan wabak Covid-19, kami turut menyambutnya dengan menyediakan makanan India seperti maruku serta menyediakan makanan tradisional Melayu seperti biskut dan nasi dagang,” katanya yang tinggal di Taman Kesedar Putra di sini hari ini.
Sementara itu, Sarasu berkata, setiap tahun perayaan Deepavali disambut meriah dengan pelbagai persiapan seperti menyediakan pakaian baharu, menghias rumah sehingga kepada juadah istimewa.
Katanya, bagaimanapun, dia hanya menyediakan juadah maruku untuk sambutan tahun ini.
“Setiap tahun saya akan menyediakan makanan tradisional India bersama anak perempuan dan menantu saya, namun kami hanya membeli juadah itu pada tahun ini.
“Sambutan kali ini ala kadar sahaja kerana hanya saya dan suami kerana anak yang tinggal di Seremban, Negeri Sembilan tidak dapat merentas negeri untuk pulang beraya. Kami juga hanya melakukan upacara sembahyang di rumah,” katanya.
Jiran pasangan itu, Nur Izzah Mohd. Rosli, 24, berkata, Pandiyan dan ahli keluarganya disegani jiran tetangga kerana sikap mereka yang peramah dan gemar membantu.
Katanya, mereka memanggil Pandiyan dengan panggilan mesra Uncle Pendi.
“Pendi itu orang Melayu kerana dia satu-satunya keluarga kaum India di kawasan taman ini.
“Biasanya sambutan Deepavali meriah apabila anak-anak dan saudara ramai datang. Tetapi, disebabkan Covid-19 mereka tak dapat merentas negeri, jadi yang datang memeriahkan sambutan kali ni,” katanya. – K! ONLINE.