KLANG – Pasukan bomba membantu proses sanitasi sebuah asrama susulan penemuan mayat lelaki warga Bangladesh dalam kejadian di Jalan Teratai, Meru di sini hari ini.
Ketua Balai Bomba dan Penyelamat Kapar, Yazli Yahya berkata, seramai lapan anggota termasuk pegawai dikejarkan ke lokasi kejadian sebaik menerima panggilan pada pukul 10.10 pagi daripada pihak polis.
Katanya, sebaik tiba didapati mayat lelaki berusia dalam lingkungan 50-an ditemui di sebuah bilik tidur asrama berkenaan.
“Bomba kemudiannya melakukan sanitasi di luar dan dalam bangunan asrama sebelum mayat dibawa keluar.
“Tindakan sanitasi dilakukan bagi memberikan keyakinan kepada anggota polis menjalankan tugasan siasatan selain membasmi permukaan yang berpotensi tercemar dengan Covid-19,” katanya ketika dihubungi hari ini.
Jelas beliau, proses nyahcemar turut dilakukan kepada anggota polis dan bomba yang terlibat di lokasi kejadian. – K! ONLINE